Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka), Datuk Megat Zulkarnain Omardin, dipilih sebagai chef-de-mission (CDM) negara ke Sukan SEA Manila 2019.

Pelantikan Megat Zulkarnain mengetepikan empat lagi calon yang enggan didedahkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang terdiri daripada pemimpin persatuan sukan serta bekas atlet kebangsaan.

Beliau menepati ciri-ciri yang dikehendaki MOM, iaitu bekas atlet dan mengetahui selok-belok sukan tempatan selain mempunyai jawatan dalam persatuan sukan kebangsaan.

Beliau juga sebelum ini pernah dilantik menjadi timbalan CDM untuk kontinjen Malaysia ke Sukan Asia Indonesia, Ogos lalu, namun meletakkan jawatan bagi menumpukan sepenuh perhatian kepada persiapan skuad silat di sana.

"Antara keputusan yang kami capai hari ini adalah mesyuarat secara sebulat suara meluluskan pelantikan Datuk Megat Zulkarnain Omardin sebagai CDM untuk Sukan SEA ke-30 di Filipina," kata Presiden MOM, Datuk Seri Norza Zakaria.

"Bagi saya, ini satu penghargaan yang besar kepada diri saya dan pastinya juga kepada sukan secara keseluruhan. Ini bukan kali pertama saya terlibat dalam temasya sukan di peringkat antarabangsa," tambah Megat Zulkarnain.

Beliau akan memulakan tugas 29 November ini dengan menghadiri mesyuarat CDM antara semua kontinjen bertanding yang akan diadakan di Manila.

Sementara itu, Norza juga memberi bayangan pemilihan atlet ke Manila tahun depan bakal melalui syarat yang ketat.

Khusus bagi pemilihan atlet kategori B, MOM tidak akan lagi bertolak-ansur di atas alasan memberi pendedahan seperti yang pernah disuarakan beberapa persatuan sukan ketika saingan Sukan Asia Indonesia lalu.

Tuan rumah Sukan SEA 2019, Filipina, dijangka akan menyenaraikan 56 jenis sukan, namun Malaysia tidak akan menyertai kesemua acara dengan memberi penekanan kepada prospek pingat sahaja.

Situasi itu bermakna Malaysia mungkin sukar untuk mempertahankan gelaran juara keseluruhan yang dimenangi edisi lalu apabila unggul meraih 145 pingat emas, 92 perak, 86 gangsa.

"Kami mempunyai pengalaman tentang kategori B ini dalam Sukan Asia, di mana ia juga telah membawa masalah. Daripada perkara ini sehingga proses itu, kami harap dapat memperketatkan proses pemilihan tersebut," ujar Norza.