Rory McIlroy berazam untuk meneruskan kecemerlangannya dalam jelajah ke kejohanan utama pada 2020 dengan kesedaran permulaan pantas adalah apa yang diperlukannya.

Jaguh golf Ireland Utara berusia 30 tahun itu masih tidak berganjak daripada memiliki empat gelaran utama berikutan kegagalan memenanginya sejak kejayaan dalam Kejohanan PGA Amerika Syarikat (AS) 2014.

Dia, bagaimanapun, mengharungi musim 2019 yang cemerlang dengan meraih empat kejuaraan, termasuk Kejohanan Jelajah, Ogos lalu, apabila meraih AS$15 juta (RM62j) selaku pemenang Piala FedEx.

Kejayaan di Kelab Golf East Lake di Atlanta itu melonjakkan keyakinannya untuk dia mengungguli pula trofi Juara-Juara WGC-HSBC di Shanghai pada November.

Namun, kekecewaannya juga jelas apabila McIlroy gagal mencabar mana-mana daripada empat kejohanan utama di sebalik berkesudahan dalam kelompok 10 teratas dalam Kejohanan PGA AS dan Terbuka AS.

Dalam Terbuka British yang berlangsung di Royal Portrush pula, McIlroy bermula dengan buruk hasil catatan 79 dan catatan cemerlang 65 pada Jumaat sekalipun gagal mengelakkannya daripada tersingkir awal di hadapan penyokongnya sendiri.

“Gelaran-gelaran utama bukanlah apa yang saya mahukan tapi saya fikir saya bermain banyak permainan golf yang baik, termasuk dalam kejohanan utama juga,” katanya kepada Sky Sports News.

"Saya melakukan bebarapa catatan baik. Saya hanya perlu bermula dengan lebih pantas dan itu adalah perkara besar buat saya.

"Jika ada cara untuk saya bersaing dengan lebih kerap dan memenangi gelaran utama semula, saya perlulah bermula dengan lebih baik sedikit.”

Dia sedang bergerak dalam arah positif, dengan pemain nombor dua dunia itu memberi tekanan kepada Brooks Koepka di puncak carta ranking.

Kejayaannya mengetepikan cabaran Koepka pada hari terakhir Kejohanan Jelajah telah memberikan McIlroy keyakinan tambahan untuknya memburu lebih banyak gelaran utama.

“Saya mahu katakan Kejohanan Jelajah dan Piala FedEx adalah yang paling bermakna kerana adanya Brooks dalam kelompok terakhir dan ia bermakna lebih sedikit kepada saya kerana dia masih menduduki ranking nombor satu di dunia,” tambahnya.