Presiden Persatuan Kriket Malaysia (MCA), V. Mahinda, berkata sesi latihan skuad kebangsaan akan diteruskan seperti biasa biarpun pemilik tapak Kinrara Oval mengarahkan pihaknya mengosongkan kawasan seluas lima ekar itu, minggu depan.

MCA yakin rundingan isu Kinrara Oval masih berada di landasan tepat.

Isu ini sedang dibincangkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abd Rahman, bersama pihak pemaju yang mengeluarkan kenyataan media, semalam.

"Kami di sini untuk Malaysia.

"Kami lakukan yang terbaik untuk Malaysia.

"Saya kekal positif kerana saya rasakan dalam tempoh beberapa minggu ini, kami akan mendapat lebih informasi berkenaan kedudukan venue itu," kata Mahinda.

Pemaju mengarahkan MCA memulangkan semula tapak Kinrara Oval yang mula digunakan sejak 15 tahun lalu untuk tujuan pembangunan.

Bagaimanapun, MCA mendakwa tapak itu sudah diwartakan sebagai kawasan rekreasi.

Malah, program latihan sedang rancak berlangsung, termasuk siri aksi persahabatan di antara skuad wanita Pakistan dan Australia yang akan tamat Isnin ini.

"Kebanyakan yang berada di sini pada hari ini adalah pemain-pemain baru.

"Mereka mempunyai sikap positif dalam diri mereka.

"Agak merugikan jika kami tidak dapat meneruskan program kriket wanita negara," kata pemain kriket wanita, Emylia Eliani Md. Rahim.

Dalam pada itu, Syed Saddiq yang bertindak sebagai orang tengah menjelaskan pihaknya sudah menyiapkan tiga pelan bagi membantu kedua-dua pihak mencapai situasi menang-menang.

"KBS mempunyai beberapa penyelesaian dalam isu ini yang saya belum dapat dedahkan buat masa sekarang.

"Saya sudah memberitahu kedua-dua pihak tentang penyelesaian ini dan kami akan memperhalusinya bersama-sama.

"Kedua-dua pihak perlu mencari titik persamaan.

"Sebagai menteri, saya perlu menitikberatkan pembangunan sukan negara," katanya.