MCA proaktif cegah rasuah 

Oleh Shaiful Shamsudin 23 April 2020 177
 MCA proaktif cegah rasuah 
Kebimbangan penularan rasuah ekoran penundaan kejohanan antarabangsa memaksa Persatuan Kriket Malaysia (MCA) menganjurkan seminar anti rasuah yang membabitkan Syafiq Sharif --pemain kebangsaan yang pernah berdepan risiko menerima suapan.

Seramai 67 pemain, jurulatih dan pegawai menyertai Persidangan Video Seminar Anti-Rasuah kendalian Majlis Kriket Antarabangsa (ICC) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu.

Ia susulan kebimbangan rasuah akan menular ketika kejohanan antarabangsa atau liga dibatalkan ekoran wabak koronavirus baru (Covid-19).

Seminar itu menyedarkan pemain seperti Syafiq apabila pernah berdepan risiko ditawarkan rasuah.




"(Pernah) ada orang luar yang bertanyakan mengenai adakah esok saya akan bermain esok, hari perlawanan dan perancangan kami. 

"Saya tidak boleh berkongsi maklumat itu.

"Apabila menyerlah dalam perlawanan, tiba-tiba saya diberikan hadiah sedangkan tidak tahu kenapa tetapi dalam masa beberapa bulan, ia akan menjadi perangkap," kata batsman kriket negara itu dalam laporan wartawan Nadi Arena, Bazly Azmi. 

Setakat ini, Malaysia antara negara yang belum mencatat sebarang kes rasuah, berbeza dengan situasi di Pakistan yang digemparkan dengan isu itu sejak minggu lalu.

"Mereka mungkin juga akan mendekati saingan wanita yang semakin meningkat naik dan lebih kerap disiarkan dalam televisyen," kata kapten kriket wanita negara, Winifred Duraisingam.

Tambah Presiden MCA, V Mahinda: "(Inti pati) persidangan itu dikenali sebagai 3R, iaitu mengenal pasti, tolak dan laporkannya untuk kami membantu mereka (memerangi rasuah).

"Saya rasa ia situasi yang kritikal."

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen