Berbaki dua hari lagi sebelum tamat tempoh pajakan Kinrara Oval kepada Persatuan Kriket Malaysia (MCA) pada Rabu ini, badan induk sukan itu masih belum mendapat kata putus mengenai status tanah tersebut.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim, berkata pihaknya masih mencari tarikh sesuai bagi perjumpaan tiga penjuru di antara Kementerian Belia dan Sukan, MCA dan Pemaju Perumahan Kinrara Berhad (PKB).

"Kami sedang mendapatkan tarikh untuk perjumpaan semua pihak, MCA, KBS serta pemaju. KBS akan membuat keputusan mengikut lunas undang-undang dalam menyelesaikan isu ini.

"Pihak kementerian tiada masalah mengenai status quo, perkara ini bukan baru, saya harap semua bersabar. KBS memberi jaminan kepada semua peminat kriket di negara ini bahawa sukan ini sentiasa akan ada 'rumah',” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan akhir ‘Women's Twenty20 International Series’ di antara pasukan Australia dan Pakistan di Kinrara Oval, hari ini.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang menyampaikan hadiah kepada pasukan Australia yang muncul juara menewaskan Pakistan 3-0.

Mengenai venue kriket baharu, Steven berkata pihaknya menerima pelbagai cadangan dan idea, namun setiap keputusan hanya akan dibuat selepas mesyuarat tiga penjuru itu.

Menurut laporan media tempatan pada Jumaat lalu, Kinrara Oval perlu dikembalikan kepada PKB selepas dipajakkan kepada MCA selama 15 tahun tamat iaitu sebaik sahaja tamat tempoh pajakan pada 31 Oktober ini.

Berdasarkan kenyataan PKB itu, syarikat usaha sama di antara I&P Group Sdn Bhd, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Lembaga Tabung Haji (TH), tanah berkenaan telah diperuntukkan untuk pembangunan.

Sementara menunggu dibangunkan, tanah itu dipajakkan kepada MCA pada 2004 selama 15 tahun yang berakhir 31 Oktober tahun ini dan MCA telah dimaklumkan bahawa penggunaan tanah itu adalah bersifat sementara dan mereka akhirnya perlu mencari kediaman tetap sendiri untuk menjalankan operasi.

PKB turut menyatakan pihak MCA mempunyai hutang yang belum dilunaskan.

Sementara itu, Presiden MCA, Mahinda Vallipuram, berkata pihaknya berharap semua pihak yang terlibat mengenai tanah tersebut mencari penyelesaian terbaik mengenai kedudukan Kinrara Oval.

Mengenai hutang yang masih tertunggak dengan PKB, Mahinda enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut dan akan dibincangkan dalam mesyuarat itu nanti.

"Saya tidak mahu komen (mengenai jumlah hutang dengan PKB). Tunggu sehingga mesyuarat itu nanti,” jelasnya.

-- BERNAMA