MCA harap campur tangan menteri besar, KBS 

Oleh Penulis Jemputan 11 Oktober 2018 263
MCA harap campur tangan menteri besar, KBS 
Presiden Persatuan Kriket Malaysia (MCA), V. Mahinda, memohon kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, serta pihak pemaju untuk mengadakan rundingan mengenai status Kinrara Oval selepas menyerahkan memorandum ke Pejabat Perdana Menteri.

Mahinda mengetuai pegawai dan pemain kriket negara menghantar memorandum ke Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, hari ini. 

Apa yang mereka mahukan, Kinrara Oval kekal di tapak asal walaupun sudah diberi notis oleh pemaju untuk mengosongkan kawasan itu akhir bulan ini.

Justeru, MCA sedang berusaha untuk mengatur pertemuan dengan beberapa pihak agar venue terbaik Asia bagi kriket itu dapat dikekalkan.

"Harapan saya, Kinrara Oval terus menjadi pusat rekreasi dan sukan khusus buat kriket meskipun kami memahami matlamat pemaju.

"Kami berharap mendapat kerjasama daripada Menteri Besar Selangor ataupun KBS, iaitu seperti menawarkan tanah lain sebagai pertukaran terhadap venue tersebut," kata Mahinda. 

Kinrara Oval siap dibina pada 2003 dan dinaik taraf sempena Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Sepanjang 15 tahun ini, Kinrara Oval melahirkan puluhan pemain terbaik negara seperti A. Suhan yang kini bermain dalam Liga Kanada.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen