Misi sulung presiden baru Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) bagi penggal 2018-2019, Datuk Benny Hoe Tze Fook, adalah mewujudkan liga bola tampar kebangsaan yang pertama pada Mac 2018.

Benny, seorang tokoh korporat, menang tanpa bertanding bagi jawatan tersebut sementara Datuk Chai Kim Sen akan menduduki kerusi timbalan presiden MAVA.

Hasrat pertamanya selepas dipilih adalah segera mewujudkan liga bola tampar kebangsaan yang sehingga kini masih gagal dilaksanakan.

Beliau juga mahu beberapa skuad bawah umur diwujudkan sebagai pendedahan awal di peringkat akar umbi bagi memastikan kualiti bola tampar negara ini mampu ditingkatkan.

"Kita harus memiliki liga sendiri dan ia sangat penting untuk pemain-pemain dan memiliki program sendiri. Ia harus dijalankan dalam masa empat hingga enam bulan dan dalam masa sama diadakan kem untuk mereka," katanya.

Sementara itu, bekas Presiden MAVA, Dr. Gregory Hii Sui Cheng, yang enggan mempertahankan jawatan atas alasan peribadi, optimis Benny mampu membawa sukan bola tampar Malaysia ke dimensi yang lebih tinggi di masa akan datang.

"Benny memiliki pengalaman untuk memastikan harapan sukan bola tampar negara naik ke tahap yang lebih baik di peringkat ASEAN atau antarabangsa tercapai," ujarnya.