Roger Federer mengatasi Kei Nishikori 6-4, 6-4 semalam untuk menempah pertemuan dengan Novak Djokovic dalam separuh akhir Kejohanan Masters Paris.

Legenda Switzerland itu bermain aksi kedua di Perancis selepas menerima kemenangan percuma berdepan Milos Raonic dalam pusingan kedua tetapi berjaya mengatasi Nishikori yang terlepas slot beraksi dalam ATP Akhir.

Cabaran lebih sukar menanti Federer apabila bakal bertemu Djokovic yang dalam prestasi terbaik selepas menang 21 perlawanan berturut-turut.

Dalam pertembungan suku akhir, Federer dan Nishikori terikat 4-4 dalam kedua-dua set sebelum pemenang grand slam 20 kali itu bijak menggunakan peluang.

Federer menemui jalan untuk meraih dua mata break dalam set pertama sebelum mengulanginya untuk merakamkan kemenangan.

Kejayaan Federer mengatasi Nishikori menyaksikan wakil Jepun itu terlepas peluang untuk beraksi di London dalam kejohanan terakhir bagi tahun ini.