Persatuan Sukan Orang Pekak Melaka (MasDeaf) mengambil inisiatif bagi membangunkan bola sepak bagi warga pekak di negeri Melaka.

Tujuan penubuhan kelab bola sepak ini adalah untuk menaikkan nama Melaka sebagai salah sebuah negeri yang mempunyai pasukan bola sepak dalam kalangan orang pekak.

“Kami fikir wajar Melaka mempunyai sebuah pasukan bola sepak dalam kalangan orang pekak yang mampu membawa cabaran kepada semua pasukan dalam apa jua kejohanan seperti Kejohanan Bola Sepak Orang Pekak Malaysia, Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) dan Liga Daerah,” kata Penasihat MaSDeaf, Proffesor Madya Dr. Zaidi Embong.

Program Pembangunan Bola Sepak itu dijangka akan bermula pada awal 2017 dan pelaksanaannya akan berjalan selama 12 bulan.

Dalam tempoh tersebut, pembentukan pasukan yang dikenali sebagai MaSDeaf United akan melalui beberapa fasa pemilihan bakat-bakat bola sepak dalam kalangan warga pekak anak jati Melaka.

Zaidi mengharapkan sokongan semua pihak dengan satu matlamat yang jelas, iaitu inginkan kejayaan dan menaikkan nama negeri Melaka seiring dengan kejayaan Melaka United yang menjadi Juara Liga Perdana 2016.