Setelah berjaya menetapkan tarikh Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) untuk memilih kepimpinan baru, kini timbul isu baru melanda Persatuan Kanu Malaysia (MASCA) apabila terdapat cadangan untuk mengeluarkan dua persatuan daripada ahli gabungan.

Dua ahli gabungan tersebut merujuk kepada Persatuan Kanu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Cadangan itu diusulkan kepada Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) ketika pertemuan 27 September lalu kerana status mereka bukanlah persatuan negeri dan ia akan dibincangkan dalam AGM pada 27 Oktober ini.

Bagaimanapun, daripada satu aspek, ia akan merugikan pihak persatuan sendiri kerana ATM dan PDRM mempunyai kemudahan kanu yang lengkap dalam membangunkan sukan itu.

"Jika ATM dan PDRM dikeluarkan daripada MASCA, ia adalah satu kerugian kerana barisan angkatan tentera dan polis memiliki kebolehan dalam sukan ini," kata Setiausaha Kehormat MASCA, Leftenan Hisyam Sah Nuddin.

Hisyam juga menjelaskan sehingga kini masih tiada lagi sebarang nama dihantar untuk bertanding dalam pemilihan penggal baru ini dan tarikh akhir menghantar borang pencalonan adalah pada 20 Oktober.

Presiden sedia ada, Datuk S. Subramaniam, sah tidak akan bertanding bagi memberi laluan kepada muka baru.