Atlet menembak Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Muslifah Zulkifli, terpaksa menarik diri daripada acara 50 meter rifle prone wanita Kejohanan Menembak Terbuka Selangor 2017 hari ini atas masalah senjata.

Muslifah hanya memulakan aksi bagi acara itu selama 20 minit berikutan senjata yang digunakannya tidak berfungsi dengan baik. Senjatanya itu mula bermasalah sewaktu dia beraksi dalam acara 50m rifle 3 posisi, semalam.

"Saya sudah perasan mengenai masalah senjata ini sejak dari semalam lagi, iaitu ketika dalam acara 50m rifle 3 posisi.

"Saya berasa seperti ada yang tidak kena kerana selepas melepaskan tembakan, hanya bunyi letupan yang kedengaran, sebaliknya peluru tidak pergi. Begitupun, saya tetap menerus dan menghabiskan tembakan kerana ingin membantu pasukan semalam.

"Tetapi, saya terpaksa menarik diri hari ini kerana keadaan masalah senjata ini semakin teruk dan sudah beberapa kali tidak meletup," ujarnya.

Muslifah yang kini bergerak secara sendirian mengakui agak bergelut untuk melakukan latihan penuh kerana masih tidak mempunyai peralatan senjata yang lengkap sehingga menyukarkannya untuk menyertai sebarang kejohanan pada masa akan datang.

"Ketika ini, saya mendapat sokongan daripada ATM yang membekalkan senjata. Dalam acara rifle ini, antara perkara paling utama adalah peluru.

"Kalau senjata bermasalah, peluru pun tidak ada, maka agak sukar untuk saya memberikan aksi terbaik," tambahnya.