Pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, terpaksa berputih mata untuk menjadikan Kejohanan Berbasikal Trek GP Asia Tenggara 2018 sebagai kejohanan pemanas badan sebelum saingan Piala Dunia selepas dia tewas dalam acara pecut pagi tadi gara-gara demam.

Shah Firdaus dilaporkan demam sejak dua hari lalu sejak tiba ke tanah air dari kem latihan pusat di Australia.

Dia cuba bertahan untuk membuat kayuhan bertenaga dalam sesi kelayakan pecut 200 meter dan berjaya menempatkan diri di tangga ketiga dengan melakar masa 10.531 saat, hanya dibezakan 0.018s dengan jaguh negara, Azizulhasni Awang, yang berada di tangga kedua.

Namun, kudratnya semakin lemah apabila memasuki saingan suku akhir sebelum tewas kepada rakan sepasukan, Muhammad Fadhil Mohd Zonis.

"Sasaran saya adalah untuk mengambil semula suasana perlumbaan di sini tetapi saya tidak jangka akan mengalami masalah kesihatan seperti ini. Saya terpaksa meneruskan perlumbaan, jadi tidak ada apa yang boleh saya lakukan," ujarnya.

Keadaan Shah Firdaus yang kurang cergas itu menyebabkannya masih berkira-kira untuk menyertai dua lagi acara, iaitu keirin dan pecut berpasukan.

Baginya, dia enggan mengambil risiko yang akan menjejaskan keadaan dirinya, apatah lagi Kejohanan Piala Dunia Berbasikal Trek akan berlangsung di Perancis, 19 Oktober ini.

Bagaimanapun, segala keputusan akan dibincangkan bersama jurulatihnya, John Beasley.

"Hari ini pun Beasley sudah tengok keadaan saya yang tidak mengizinkan. Esok saya ada acara keirin dan pecut berpasukan, namun itu semua bergantung kepada Beasley," tambahnya.