Masa depan Program Podium yang tidak menentu bakal membunuh kelangsungan serta kesinambungan skuasy negara apabila berdepan risiko kehilangan dua jurulatih berpengaruh.

Ketika ini, hanya lima jurulatih diketuai Peter Genever berada di bawah naungan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM).

Dua jurulatih yang masih menanti perkembangan terhadap masa depan mereka adalah Ajaz Azman dan Andrew Cross.

Difahamkan, negara seteru bersedia memancing khidmat jurulatih kepada pemain seperti S. Sivasangari dan Aifa Azman ketika kontrak mereka tamat hujung tahun ini.

"Kontrak jurulatih negara bakal berakhir pada penghujung tahun ini dan seharusnya kami sudah mula memastikan kontrak lanjutan diberikan," kata Pengarah Kejurulatihan SRAM, Mejar (B) S. Maniam.

Kehilangan dua jurulatih itu bakal mengundang padah ketika SRAM memiliki 30 pemain dalam program kebangsaan.

Senarai pengganti yang memiliki kualiti sama untuk menilai kontrak lebih murah pula merupakan sesuatu yang mustahil.

"Terdapat banyak jurulatih tempatan yang berbakat tetapi masih kekurangan pengalaman daripada segi membuat persiapan atlet menghadapi kejohanan antarabangsa. Persoalannya, adakah kita bersedia untuk menunggu hingga dua tahun sebelum mendapatkan pengalaman yang sewajarnya?"