Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) melantik seorang jurulatih wanita, Mas Murni Abdullah, untuk menggantikan ketiadaan sementara jurulatih pecut, Mohd Poad Mohd Kassim, yang masih menjalani rawatan terhadap jangkitan kuman di paru-paru.

"Saya dan Poad telah membuat perancangan latihan untuk menghadapi kejohanan-kejohanan pada tahun 2018, bermula dengan latihan selama lapan hari di Cameron Highlands," kata Murni.

"Buat masa ini, tugas saya adalah memastikan latihan berjaya seperti biasa dan saya berharap atlet-atlet tidak terganggu dengan keadaan yang dihadapi oleh Poad."

Poad sudah sedarkan diri selepas dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru ekoran jangkitan kuman di paru-paru, minggu lalu.

Beliau dijangka berehat untuk tempoh sekurang-kurangnya hingga Februari depan.

Ini bermakna Murni perlu memastikan atlet pecut, Khairul Hafiz Jantan, dan rakan-rakan melakukan persiapan terbaik sebelum menyertai Sukan Komanwel Gold Coast, Australia, April depan.