Jurulatih, Marzuki Zakaria, menganggap pengguguran atlet memanah para negara, Hasihin Sanawi ,daripada Program Podium 2018 sebagai penilaian yang tidak adil dan mengelirukan.

Kegagalan mengejut Hasihin dalam pusingan pertama Sukan Paralimpik Rio 2016 selain meraih gangsa dalam Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 menjadi rujukan utama pihak Program Podium yang membawa kepada penggugurannya daripada program elit itu.

Tegas Marzuki, apa yang ditampilkan Hasihin bagi tempoh itu hanya melibatkan usahanya sendiri kerana kelebihannya sebagai atlet Program Podium tampak tidak begitu jelas.

“Seharusnya, atlet Podium memiliki kelebihan di bawah jurulatih yang dilantik oleh program tersebut. Sepanjang dia berada dalam program tersebut, kami perlu membantunya,” kata Marzuki.

Tanpa pendedahan menerusi kejohanan antarabangsa selain tiada pemerhatian khusus daripada jurulatih Podium, Hasihin dihukum atas usaha sendiri dengat kudrat yang terhad.

“Hasihin berlatih di Kompleks Sukan Kampung Pandan dan dia tidak memiliki tempat untuk berlatih serta diberikan program yang sama seperti atlet lain," katanya.

Dalam masa sama, Marzuki yang bukan jurulatih pilihan daripada Program Podium berhadapan dengan konflik tugasan hakiki.

Beliau perlu mengutamakan atlet para bagi Program Majlis Sukan Negara (MSN)tetapi pada masa sama tidak sampai hati melihat Hasihin yang merupakan atlet Podium ketika itu bersendirian dalam memperjuangkan nasibnya.