Ketua jurulatih skuad olahraga negara, Mohd Manshahar Abdul Jalil, optimis Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sudah mengenal pasti aspek yang penting bagi program Sukan Olimpik Tokyo 2020 walaupun hanya berbaki kurang setahun.

Sebelum ini, dalam Sukan Olimpik Rio 2016, kontinjen negara hanya mampu meraih empat pingat perak dan satu gangsa.

Kini, bagi merealisasikan impian meraih emas dalam temasya Olimpik, KBS dijangka mengumumkan nama program khas bulan depan.

"Pengumuman untuk program Olimpik tahun depan adalah kesinambungan daripada Rio 2016 kerana di antara dua saingan ini, ada banyak kejohanan seperti Sukan Komanwel dan Sukan Asia, di mana barisan jurulatih telah mengenal pasti setiap program," katanya.

Manshahar juga percaya MSN dan KBS sudah mengenal pasti aspek penting seperti prospek atlet untuk meraih pingat dan pengagihan peruntukan.

"Sudah pasti penekanan mengenai Olimpik akan datang, saya rasa persatuan sukan sudah mengenal pasti atlet yang boleh menyumbang emas pertama. Jadi, perancangan yang tepat serta sokongan daripada semua pihak khususnya memainkan peranan."

Semua persatuan yang terlibat perlu menghantar cadangan program latihan khas atlet mereka pada 10 Januari ini dan kelulusan cadangan akan dibuat dalam mesyuarat jawatankuasa pemandu program khas itu.