Ketua jurulatih skuad olahraga negara, Manshahar Abdul Jalil, mahu barisan atletnya sentiasa bersedia meskipun pandemik Covid-19 telah merencatkan program latihan mereka.

Jurulatih itu menegeskan tiada jalan mudah buat mana-mana atlet walaupun mereka dalam keadaan terhad untuk melakukan latihan di rumah berikutan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Program latihan mereka turut dipantau menggunakan aplikasi Zoom dan ia turut bergantung kepada keperluan dan kesesuaian buat seseorang atlet di kediaman masing-masing.

Menurutnya, skuad olahraga diminta untuk menghantar laporan mingguan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) bagi menilai dan memantau tahap kecergasan mereka.

"Ia juga bergantung kepada atlet mengikut kesesuaian keperluan di tempat tinggalnya.

"Atlet akan berbincang dengan jurulatih untuk melihat kesesuaian latihan yang boleh dibuat di tempat tinggal mereka.

"Maknanya, pengubahsuaian latihan itu bergantung kepada persekitaran atlet juga.

"Latihan itu dipantau dan jurulatih akan mendapatkan maklum balas daripada atlet," katanya.

Dalam masa sama, Manshahar mengingatkan skuad olahraga negara supaya sentiasa berada di prestasi kemuncak menjelang Sukan Olimpik Tokyo dan Sukan SEA Vietnam tahun depan.

"Atlet perlu meneruskan latihan sebaik-baiknya seperti biasa.

"Tetapi oleh kerana PKP ini, sekurang-kurangnya untuk mengekalkan tahap kecergasan itu adalah penting kerana kita tidak tahu bila PKP akan tamat.

"Mereka atlet di bawah program latihan dan selepas PKP tamat, saya pasti akan ada sasaran yang lain.

"Tahun depan ada Sukan SEA, Sukan Olimpik dan sebagainya.

"Jadi, latihan tetap perlu diteruskan dan sekiranya ia dihentikan secara serta-merta, sudah pasti mereka tidak akan bersedia untuk memulakan latihan semula," tambahnya.