Jurulatih lompat bergalah negara, Mohd Manshahar Abdul Jalil, sanggup mencari dana sendiri bagi memastikan anak didiknya, Iskandar Alwi, beraksi dalam Sukan Asia Indonesia, bulan depan.

Iskandar kini diletakkan dalam senarai atlet kategori B ke temasya itu oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sambil Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) masih merayu bagi pihak atlet berusia 24 tahun itu.

Tujuh lagi atlet olahraga yang turut senasib dengannya juga berada dalam kategori sama, namun sehingga kini masih tiada jawapan yang pasti.

Perkara itu membuatkan Manshahar terpaksa mengambil alternatif lain seperti mencari wang sendiri atau penaja untuk menghantar Iskandar beraksi di Indonesia, bulan depan.

"Saya akan cuba. Bagaimanapun, saya rasa pihak pengurusan akan mengambil kira peluang untuk dia ke sana. Keputusan masih belum dibuat.

"Jika dia sudah berlatih dan mampu ke Sukan Asia, saya akan cuba sedaya-upaya untuk membantunya," kata Manshahar.

Iskandar yang juga pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 5.31 meter mempunyai satu lagi peluang untuk membuktikan kemampuan apabila menyertai Kejohanan Kuala Lumpur All Comers yang akan berlangsung pada 8 Ogos depan.

Dia perlu melepasi catatan 5.45m jika berhasrat untuk diserap menjadi atlet kategori A.

"Saya percaya dengan jurulatih dan diri saya sendiri. Saya akan lakukan yang terbaik dalam saingan KL All Comers nanti dan apa jua keputusan yang diraih, saya akan terima, termasuk jika tidak dapat ke Sukan Asia," ujar Iskandar.