Mangsa kemalangan akan dapat pengadilan

Oleh Penulis Jemputan 11 Disember 2017 85
Mangsa kemalangan akan dapat pengadilan
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, memberi jaminan peserta Klang City International Marathon yang terbabit dengan kemalangan semalam akan mendapat pengadilan sewajarnya.

Menurut Khairy, memandangkan saingan maraton itu tidak mendapat kelulusan Pejabat Pesuruhjaya Sukan, penganjur acara itu bakal dikenakan hukuman berlandaskan Akta Pembangunan Sukan 1997.

Khairy sudah mengarahkan Pejabat Pesuruhjaya Sukan membuat laporan polis bagi memastikan pemandu yang terbabit turut dikenakan tindakan.

Khairy turut mencadangkan pindaan pada akta tersebut bagi memastikan hukuman lebih berat jika kes seperti ini berulang pada masa akan datang.

“Penganjur acara sukan perlu meminta kebenaran sekurang-kurangnya 90 hari sebelum acara berlangsung,” katanya.

Dalam kejadian semalam, peserta maraton, Avelyn Ang, mengalami kecederaan serius di kepala selepas dilanggar sebuah kenderaan dari belakang di Batu 2, Jalan Kapar.

Keadaan Avelyn dilaporkan stabil selepas menjalani pembedahan di Hospital Sungai Buloh dan Khairy turut meninjau sendiri keadaan peserta maraton itu.

Dua lagi perserta yang terbabit dengan kemalangan itu ialah Amiruddin Hamid dan Ahmad Hadafi Jus yang mengalami kecederaan ringan.

“Kemalangan berlaku terlalu pantas, saya berada di bumbung kereta dan pemandu itu enggan menghentikan kenderaannya hingga saya terjatuh ke atas jalan,” kata Hadafi.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen