2020 menyaksikan skuasy Malaysia meneruskan perjuangan tanpa Datuk Nicol David tetapi adakah memadai untuk mencabar Mesir bagi gelaran berpasukan wanita dunia di Kuala Lumpur, Disember depan?

Sejak kali pertama dipertandingkan pada 1979, pencapaian terbaik skuad negara adalah ketika edisi 2014 apabila Malaysia diketuai Nicol muncul naib juara.

Rakan Nicol dalam skuad 2014 itu yang kini jurulatih kebangsaan, Delia Arnold, berasakan Malaysia tetap ada kualiti mencabar kejuaraan di laman sendiri.

Selain pemain nombor satu negara, Low Wee Wern, skuad negara juga mempunyai kudrat senior seperti Rachel Arnold.

Dua pemain yang dijangka melengkapkan skuad 2020 Malaysia adalah daripada kalangan jaguh dalam pembikinan, S. Sivasangari dan Aifa Azman.

Tetapi Mesir, juara bertahan sejak edisi 2016, memiliki empat emain dalam ranking lima terbaik dunia diketuai Raneem El-Welily.

"Saya berasakan perkara ini bukanlah satu masalah kerana barisan pemain negara memiliki pengalaman di pentas antarabangsa dan mampu mencipta kejayaan.

"Terdapat beberapa perkara yang harus dipertingkatkan lagi mutu permainan kerana Mesir memiliki pemain yang berada dalam kelompok 10 terbaik dunia," kata Delia.

"Pada pendapat saya, pemain wanita yang berpangkalan di Malaysia masih lagi relevan kerana mereka boleh menjalani perlawanan ujian dengan pemain lelaki. Mereka juga boleh berlatih di luar negara untuk beberapa bulan, ia bergantung kepada situasi."



Editor: Ammar Hakim