Bekas orang besi negara, Abd Malek Tobias, dan Samuel Kipsang Rono adalah antara calon untuk ditawarkan tugas jurulatih acara heptatlon serta jarak jauh dan sederhana selepas tamat mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) hari ini.

KOM merancang untuk mendominasi semula acara dekatlon dan heptatlon selain jarak jauh dan sederhana di peringkat Asia Tenggara.

Malaysia pernah memiliki jaguh utama acara itu seperti Malek, Datuk Zaiton Othman, M. Ramachandran, G. Saravanan dan ramai lagi.

Jadi, Jawatankuasa Kejurulatihan KOM sedang meneliti beberapa calon untuk menyertai barisan kejurulatihan kebangsaan.

"Kami perlu mengetahui jurulatih yang sedang dipantau mampu untuk membimbing barisan atlet negara. Kami akan berusaha untuk mendapatkan yang terbaik," kata Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan KOM, Datuk Paduka Mumtaz Jaafar.

Atlet heptatlon negara, Norliyana Kamaruddin, meraih perak Sukan SEA Filipina dan membayangkan untuk meninggalkan acara itu ekoran ketiadaan jurulatih.

Sementara itu, status ketua jurulatih negara, Mohd Manshahar Abd Jalil, untuk dinaikkan pangkat sebagai pengarah teknikal akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan KOM dalam masa terdekat.

"Setakat ini, saya masih lagi menunggu sebarang keputusan. Jika khidmat saya dilanjutkan, saya akan terus menjalankan tugas dan segalanya terletak kepada pihak atasan," kata Manshahar.