Pengurus luncur air negara, Hanifah Yoong Abdullah, meminta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) agar mempertimbangkan cadangan untuk memasang sistem kabel di Putrajaya atau Malaysia akan ketinggalan di pentas Asia Tenggara.

Malaysia masih tidak mempunyai kemudahan seperti itu.

Realitinya, negara Asia Tenggara seperti Thailand, Indonesia dan Filipina sudah jauh ke depan sehingga dapat mendominasi Sukan SEA 2019.

Peluncur negara lebih biasa menggunakan sistem tarikan kuasa bot, sekali gus sukar untuk mengekalkan reputasi selaku gergasi rantau ini.

"Sistem kabel merupakan teknologi terkini memandangkan kos penggunaan bot yang mahal.

"Walaupun (pembinaaan) sistem kabel menelan belanja yang tinggi, tetapi ia akan memberikan pulangan segera kepada pemilik.

"Rakyat Malaysia khususnya boleh berseronok dan menggunakannya untuk tujuan pertandingan.

"Kita patut ada (kemudahan ini), Insya-Allah kami akan memilikinya tidak lama lagi," katanya.

Kos memasang sistem kabel berkenaan dianggarkan sekitar RM3 juta.

Malaysia menamatkan cabaran Sukan SEA Filipina yang berakhir semalam dengan satu pingat gangsa menerusi acara cable ski berpasukan campuran selepas meraih empat emas dalam edisi di Kuala Lumpur dua tahun lalu.