Malaysia juara Divisyen 2 Ragbi Asia B-19 

Oleh Bernama 18 Disember 2019 251
Malaysia juara Divisyen 2 Ragbi Asia B-19 
Malaysia dinobatkan juara Divisyen 2, Kejohanan Ragbi Asia Bawah 19 Tahun (B-19)  selepas mengatasi Emiriah Arab Bersatu (UAE) 15-14 dakan aksi kedua di Padang A, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang hari ini.

Malaysia mengumpul enam mata keseluruhan sementara UAE empat selepas dicampur dua mata yang diraih kedua-dua pasukan dalam aksi pertama, yang berakhir dengan keputusan seri 12-12 di venue sama Ahad lalu.

Kejayaan skuad bimbingan ketua jurulatih, Mohd Farid Syazwan, itu hari ini membolehkan Malaysia kembali bersaing dalam Divisyen 1 musim depan, selepas kali terakhir beraksi pada musim 2017.

Dalam aksi hari ini, skuad negara melakukan dua try di samping melengkapkan satu conversion dan satu penalti sementara UAE hanya melakukan satu try dan menyempurnakan tiga penalti.

Dua try Malaysia dilakukan menerusi Ahmad Zulhilmi Azizad pada minit kedua dan 15 sementara Muhamad Hafiezie Sudin bijak menyempurnakan conversion pada minit ketiga sebelum menyempurnakan penalti pada minit ke-24.

14 mata UAE disumbangkan Justin Brits yang melengkapkan dua penalti pada minit kesembilan dan 31 sementara Baptiste Requillart dan Alistair Hess masing-masing melakukan try pada minit ke-19 dan 52.

Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan, Mohd Farid berpuas hati dengan disiplin dan semangat yang ditampilkan barisan pemainnya sepanjang dua perlawanan walaupun berdepan kesuntukan masa dalam mempersiapkan pasukan.

“Walaupun kami mempunyai masa singkat untuk siapkan pasukan, tapi atas komitmen semua, kami berjaya dapat apa yang diidamkan.

“Separuh masa kedua kami sedikit perlahan dan UAE yang mempunyai kelebihan daripada segi fizikal, menguasai hampir keseluruhan permainan. Tetapi pemain bermain bermati-matian dan mengekalkan kedudukan itu, seterusnya memenangi perlawanan,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Farid berkata persiapan rapi perlu bermula dari sekarang untuk mendapatkan kombinasi terbaik menjelang Divisyen 1 penghujung tahun depan.

“Kami akui Divisyen 1 adalah standard yang lebih tinggi daripada Divisyen 2.

"Kami perlukan persiapan awal untuk mencari kombinasi terbaik,” tambahnya. 

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen