Malaysia berpotensi luaskan dodgeball

Oleh Penulis Jemputan 3 November 2017 94
Malaysia berpotensi luaskan dodgeball
Kapten skuad dodgeball lelaki negara, Robert Ng Chee Keong, mahu melihat populariti sukan itu terus meningkat di Malaysia dalam usaha mencari barisan pelapis yang mampu diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

Sukan dodgeball kini semakin mendapat perhatian ramai apabila menjadi sebahagian daripada aktiviti sukan, khususnya di peringkat sekolah rendah.

Justeru, Robert berpandangan skuad dodgeball negara mampu mencapai potensi yang jauh lebih baik sekiranya ada pihak yang mengambil serius terhadap pembangunan sukan itu.

Malah, kewujudan liga dodgeball kebangsaan yang dianjurkan Persatuan Dodgeball Malaysia (MAD) juga dapat menarik lebih banyak penyertaan kelab-kelab, sama ada persendirian mahupun institusi pengajian tinggi (IPT).

“Apabila kami ke Negeri Sembilan, terdapat sebuah sekolah yang baru mengenali sukan dodgeball kira-kira sebulan lalu. Kami ke sana dan mengadakan klinik dodgeball dan mendapati mereka bagus.

“Saya rasa banyak bakat yang boleh dicungkil dari situ,” katanya.

Skuad dodgeball negara tampil cemerlang dengan meraih kejayaan berganda menjuarai saingan lelaki dan wanita dalam Kejohanan Dunia yang berlangsung di Toronto, Kanada pada Oktober lalu.

Pasukan wanita berjaya mempertahankan gelaran manakala pasukan lelaki menebus kehampaan tahun lalu di mana ketika itu mereka sekadar menjadi naib juara.

Perkara itu membuatkan Robert mengharapkan kisah serupa dapat diteruskan menjelang Kejohanan Dunia 2018 nanti.

“Beberapa tahun lagi, kami akan memilih lebih ramai pemain muda dan mula membentuk mereka untuk memberikan lebih pilihan kepada barisan jurulatih,” tambah Robert.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen