Atlet lompat bergalah negara, Iskandar Alwi, mempertahankan pingat emas Kejohanan Olahraga Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota Kerajaan (MAKSAK) hari ini di sebalik persoalan mengenai status jurulatihnya, Mohd Manshahar Abd Jalil.

Iskandar, yang mewakili Angkatan Tentera Malaysia (ATM), melakukan catatan 4.8 meter untuk mempertahankan pingat emas, namun atlet berusia 25 tahun itu runsing memikirkan tentang jurulatihnya, Manshahar, bakal dilantik sebagai Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).

"Jika ia adalah yang terbaik buat jurulatih Manshahar, ia perlu diteruskan tetapi saya berharap beliau dapat meluangkan masa untuk melatih kami di balapan. Saya juga bersedia untuk dilatih oleh jurulatih baru," kata Iskandar.

Sementara itu, pelari pecut negara, Nixson Kennedy, menewaskan Jonathan Nyepa buat kali pertama musim ini apabila meraih emas 100 meter dengan masa 10.71 saat.

Jonathan, pelari kedua terbaik negara ketika ini, meraih perak sementara Abd Al-Rashid Osman yang mewakili Polis Diraja Malaysia (PDRM), gangsa.

Wakil ATM, Zaidatul Husniah Zulkifli, mengungguli saingan wanita selepas melakukan catatan yang lebih baik daripada ketika mendapat tempat keenam dalam Sukan SEA Ke-30 minggu lalu apabila meraih emas dengan masa 11.75s.

Rakan sepasukan Zaidatul, Siti Fatimah Mohamad, meraih perak sementara Elice Grenggori (Sabah) di tempat ketiga.

"Saya tidak terpilih untuk beraksi dalam Kejohanan Olahraga Dalam Dewan Asia kerana mereka memilih pemenang pingat emas dan perak sahaja. Buat masa ini, saya masih belum berbincang dengan jurulatih untuk menyertai kejohanan bagi musim depan," kata Zaidatul.