Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, menyifatkan majlis penyampaian Skim Hadiah Kemenangan Sukan Malaysia (SHAKAM) merupakan sesuatu yang sangat istimewa kali ini bagi meraikan wira Olimpik dan Paralimpik yang telah mengharumkan nama negara.

Majlis penyampaian SHAKAM yang bakal berlangsung esok, pastinya akan menjadi sesuatu yang bermakna buat atlet Olimpik dan Paralimpik yang meraih pingat di Rio.

Seperti yang dijanjikan, mereka akan diberikan ganjaran sebagaimana yang telah ditetapkan dan diraikan secara besar-besaran dalam majlis berkenaan.

Tambah Shapawi, tidak keterlaluan jika majlis itu dianggap sebagai majlis bersejarah, apatah lagi dengan pingat emas pertama yang berjaya diraih oleh atlet Paralimpik negara.

"Apa yang lebih istimewa malam esok adalah ia majlis untuk meraikan pemenang Olimpik dan Paralimpik.

"Ia istimewa kerana kejayaan yang diraih di Olimpik dan Paralimpik, menjadikan majlis yang akan berlangsung itu ditunggu-tunggu oleh banyak pihak," jelas Shapawi.

Turut berkongsi keterujaan adalah pemenang pingat emas Paralimpik, Muhammad Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly, yang tidak sabar untuk menghadiri majlis yang akan memberikan pengiktirafan di atas sumbangan besar mereka.

Bagi mereka, ganjaran yang bakal diterima itu cukup berbaloi dengan pengorbanan yang telah dilakukan demi negara selama ini.

"Sebenarnya, saya berdebar-debar dan macam-macam perasaan ada. Pemenang Olimpik dan Paralimpik akan bersama sekali dan ia menimbulkan rasa teruja untuk saya," ujar Ziyad.

Sementara bagi Latif, dia tidak sabar menanti majlis tersebut dan mahu membina rumah buat keluarganya hasil daripada wang kemenangan yang akan diterimanya.

"Saya berasa berdebar-debar dan tidak sabar, saya tidak biasa mendapat duit yang sebegitu banyak dan umur saya masih lagi muda.

"Saya mungkin akan menyimpan duit tersebut untuk membantu keluarga dan membina rumah untuk mereka," kata Latif.