Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) mengambil pendekatan luar biasa dalam mencari pengganti kepada Goh Cheng Huat yang meletakkan jawatan selaku ketua jurulatih
skuad lelaki kebangsaan.


Peletakan jawatan Cheng Huat diumumkan secara rasmi oleh Presiden MABA, Datuk Lua Choon Hann, dalam satu sidang media khas, hari ini.

Apa yang menjadi tumpuan adalah keputusan yang dilakukan MABA bagi mencari individu yang sesuai untuk mengendalikan skuad lelaki negara.

Antara langkah yang dipertimbangkan ialah jurulatih pasukan yang memenangi saingan Piala Agong, pertengahan bulan ini, diberi peluang untuk menerajui pasukan kebangsaan.

“Kami akan membentuk satu pasukan berdasarkan pasukan yang muncul juara Piala Agong. Tetapi pendekatan ini harus dibincangkan terlebih dahulu sebelum dilaksanakan,” kata Choon Hann.

Dalam pada itu, MABA turut bercadang untuk mewujudkan satu pertandingan baru dengan menggabungkan kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) dan pertandingan B-17 tahun kendalian badan induk itu.

Menerusi pertandingan baru itu nanti, wakil yang mengambil bahagian lebih menjurus kepada penyertaan di peringkat sekolah berbanding negeri.

“Dengan memperkenalkan saingan liga di peringkat sekolah akan meningkatkan mutu permainan pemain-pemain muda sebelum diserapkan ke dalam skuad kebangsaan.”