Atlet lompat jauh, Luqman Hakim Ramlan, meminta Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mempertimbangkan namanya menyertai Kejohanan Dalam Dewan Asia selepas
melakukan catatan peribadi terbaik 7.87 meter ketika meraih pingat emas dalam Kejohanan Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota Kerajaan (MAKSAK) di Bukit Jalil hari ini.


Luqman membalas kekecewaan tidak dapat menyertai Sukan SEA Filipina dengan lompatan cemerlang itu.

Ia catatan yang baik dan sepatutnya mampu mencabar pingat Kejohanan Dalam Dewan Asia di Hangzhou, China, Februari depan.

Buat masa ini, lompat jauh hanya diwakili pemegang rekod kebangsaan, Andre Anura Anuar, berbekal catatan 8.02m.

"Berdasarkan ranking di Asia, saya kini berada di tangga kedua dan yakin mampu mencipta kejayaan di Hangzhou jika terpilih," kata Luqman.

Perak milik rakan sepelatih Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sementara gangsa milik wakil Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL).

Sementara itu, acara lari berganti-ganti rampaian mencuri tumpuan apabila dipertandingkan buat kali pertama.

Saingan itu membabitkan pelari elit dan veteran membabitkan jarak 200, 400 dan 800m.

Emas milik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sabah meraih perak sementara WPKL gangsa.