Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, memberi bayangan untuk menjadikan Sabah sebagai destinasi utama Le Tour de Langkawi (LTdL) tahun depan tatkala edisi kali ini menyaksikan Negeri Di Bawah Bayu itu hanya diletakkan sebagai sebahagian medan pra-kejohanan.

Majlis pengenalan pasukan malam ini mengesahkan seramai 126 pelumba yang mewakili 21 pasukan akan terbabit menjelang perlumbaan pra-kejohanan, iaitu kriterium sejauh 87.6km yang akan mengelilingi bandar Kota Kinabalu esok.

Majlis pengenalan itu turut mendedahkan senarai pelumba yang pada awalnya diuar-uarkan tidak akan mengikuti edisi jubli perak itu, termasuk Zawawi Azman yang akan mewakili Sapura Racing Team.

Sabah juga diumumkan akan menjadi sebahagian daripada destinasi bagi edisi 2021 memandangkan perlumbaan rasmi kali ini akan bermula di Kuching, Sarawak, Jumaat ini.

Perbincangan rapi akan dimuktamadkan oleh Syed Saddiq bagi meluaskan penganjuran LTdL sambil berkata: "Uniknya saingan LTdL tahun ini turut melibatkan Sabah dan Sarawak.

"Saya harap perlumbaan ini dapat dinikmati bukan sahaja di Semenanjung tetapi seluruh Malaysia."

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Sabah, Phoong Jin Zhe, menganggap kriterium LTdL berkenaan membuka peluang kepada masyarakat luar untuk melihat keindahan di negeri tersebut.

"Sudah tentu ia berpotensi besar menjadi destinasi pelancongan sukan," katanya.




Editor: Shaiful Shamsudin