Status siri profesional Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 umpama talian hayat buat pengurus Kelab Amskins Racing, Mohd Faiz Syarifuddin, yang cuba menghidupkan semula pasukan bertaraf benua itu menjelang perlumbaan itu Februari tahun depan.

"Impak yang bagus untuk industri berbasikal di negara ini. LTdL merupakan saingan jelajah tertua di Malaysia yang juga memberikan impak kepada pihak penajaan," kata Mohd Faiz.

Kejayaan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) meyakinkan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) untuk mendapatkan status siri profesional untuk LTdL mencerahkan peluang beberapa pasukan mendapatkan penaja.

Antaranya, Kelab Amskins Racing yang terpaksa menarik diri daripada kalendar perlumbaan tahun ini selepas gagal mengumpul dana sekurang-kurangnya RM2.5 juta.

Kelab Amskins Racing sebelum ini dikenali sebagai Forca Amskins Racing.

Perkembangan itu juga membakar semangat pakar pecut, Anuar Manan, untuk membuat penampilan semula tahun depan.

"Jika kami mendapatkan penajaan, saya akan kembali memanggil rakan sepasukan yang lain untuk bersaing dalam LTdL musim depan," kata Anuar.