LTdL: Pihak penganjur tepati janji, selesai wang hadiah pemenang

Oleh Ammar Hakim 12 Julai 2020 38
LTdL: Pihak penganjur tepati janji, selesai wang hadiah pemenang
Penganjur Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020, Human Voyage, menepati janji apabila berjaya menyelesaikan wang hadiah kemenangan berjumlah lebih RM800,000.

Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI) perlu menyalurkan semua wang itu kepada barisan pemenang termasuk juara keseluruhan dari Malaysia, Team Sapura Cycling (TSC). 

Pengurus TSC, Sayuti Zahid, lega selepas menerima perkhabaran episod hitam berkaitan isu lewat menerima wang hadiah kemenangan LTdL hampir diselesaikan.



Perlumbaan yang tamat 15 Februari lalu menyaksikan TSC muncul penerima hadiah wang kemenangan terbesar iaitu sebanyak RM141,150 -- wang tersebut sepatutnya diagihkan kepada pelumba sebagai bonus kemenangan.

"Kami gembira dengan berita yang pihak penganjur telah memberi wang kepada UCI"

"Kami akan menghantar emel kepada UCI, untuk mengetahui status pembayaran agar boleh memberitahu kepada pasukan mengenai jangkaan pembayaran wang kemenangan," kata Sayuti.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi LTdL, Shahaizereen A. Hamid, mengakui isu kelewatan pembayaran berpunca pandemik Covid-19.

Pihaknya berdepan masalah memindahkan wang hadiah kemenangan kepada UCI selepas kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Proses itu berjalan lancar selepas mendapat bantuan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

"Kami telah menghubungi pihak UCI untuk mempercepatkan proses. Akhir bulan lepas, kami telah mendapat semua invois daripada mereka dan Akauntan Awam Bertauliah (CPA) kemudian kami terus menyelesaikan pembayaran dalam kadar segera," katanya.

"Selepas mendapat wang kemenangan, saya merancang untuk membawa keluarga  mengerjakan ibadah Umrah yang sepatutnya dilakukan pada tahun ini," kata Raja Bukit LTdL, Nur Aiman Mohd Zarif.

"Ini satu bonus bila mendapat wang kemenangan kerana saya ia digunakan sebagai membuat persediaan dalam latihan serta mendapatkan makanan tambahan bagi menghadapi saingan akan datang," kata pelumba skuad kebangsaan, Sofian Nabil Omar.

"Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) telah mendaftar untuk LTDL 2021 dan meminta pihak UCI untuk memasukkan LTDL dalam kalender UCI tahun depan. Untuk persediaan LTDL kami serahkan kepada pihak penganjur," kata Naib Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill .
 

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen