Penganjur Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020, Human Voyage, bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dan mengambil langkah tambahan bagi memastikan Peringkat Borneo yang bermula minggu ini berjalan lancar.

Pasukan, pelumba, pegawai dan tetamu dijangka akan tiba di Kota Kinabalu, Ahad ini untuk pengenalan rasmi pasukan dan juga perlumbaan Kriterium Antarabangsa Kota Kinabalu yang masing-masing dijadualkan pada Rabu dan Khamis ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Human Voyage, Shahaizereen A Hamid, berkata pihak penganjur telah mengambil langkah-langkah tambahan bagi memastikan kesemua aspek penganjuran perlumbaan, termasuk langkah keselamatan kesihatan dalam tempoh penularan novel koronavirus 2019 (2019-nCov) yang berlaku.

Katanya, perincian pengangkutan udara dan darat pasukan, pegawai dan keseluruhan rombongan pengiring ke Kota Kinabalu dan Kuching telah diteliti bagi mengelakkan sebarang masalah logistik.

“Semua pihak berkaitan, termasuk agensi tempatan, telah tahu tanggungjawab masing-masing. Kami akan bersedia untuk sebarang kemungkinan dan kami berharap untuk menyediakan satu persekitaran yang selamat untuk kesemua pelumba, pegawai dan keseluruhan pengiring,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sejumlah 21 pasukan telah mengesahkan penyertaan pada edisi ke-25 tahun ini, yang bermula dengan perlumbaan Kriterium Antarabangsa di Padang Merdeka, Kota Kinabalu, Khamis ini.

Perlumbaan kriterium itu diadakan buat kali pertama sempena Sambutan Ke-25 Jubli Perak LTdL tahun ini sebelum peringkat pertama perlumbaan itu bermula di Padang Merdeka, Kuching, Jumaat ini.

Sejak edisi pertama pada 1997, LTdL berkisar kepada laluan semenanjung dengan Kuala Lumpur dan Langkawi masing-masing sebagai tempat permulaan dan penamat perlumbaan.

Pasukan yang telah mengesahkan penyertaan mereka dalam edisi tahun ini termasuk satu pasukan Jelajah Dunia, lima pasukan profesional benua, 14 pasukan benua dan satu pasukan kebangsaan (Malaysia).

Dua pasukan yang berpusat di China, Hengxiang dan Giant Racing, telah menarik diri daripada perlumbaan akibat wabak virus di Wuhan.

Juara keseluruhan tahun lalu, Benjamin Dyball (bekas pelumba Pasukan Sapura Cycling), tidak akan mempertahankan jersi kuningnya selepas dilamar pasukan NTT Pro Cycling, sebuah pasukan bertaraf Jelajah Dunia yang berpusat di Afrika Selatan.

Tiga pasukan dari Itali juga akan menunjukkan taring mereka manakala Perancis, Jepun, Indonesia, Korea Selatan dan Australia mempunyai wakil masing-masing dalam perlumbaan tahun ini.

Perlumbaan 10 hari itu, dari 6 hingga 15 Februari ini, akan meliputi jarak sejauh 1,114.9 kilometer yang merentasi lapan negeri, iaitu Sabah, Sarawak, Terengganu, Pahang, Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan dua Wilayah Persekutuan; Putrajaya dan Kuala Lumpur.


Senarai pasukan yang telah mengesahkan penyertaan:

NTT Pro Cycling Team (RSA)

Androni Giacatolli-Sidermec (ITA)

Bardian CSF Fanzane (ITA)

Nippo Delko One Provence (FRA)

Vini Zabu KTM (ITA)

B&B Hotels-Vital Concept (FRA)

Aisan Racing Team (JPN)

Team Bridgelane (AUS)

PGN Cycling Team (INA)

KSPO Professional (KOR)

ARA Pro Racing Sunshine Coast (AUS)

SSOIS Miogee Cycling Team (CHN)

St George Continental Team (AUS)

Team Sapura Cycling (MAS)

Terengganu Inc. TSG Cycling Team (MAS)

Thailand Continental Team (THA)

Vino-Astana Motors (KAZ)

Wildlife Generation Pro Cycling (USA)

Utsunomiya Blitzen (JPN)

HKSI (Hong Kong)

Pasukan Kebangsaan Malaysia


-- BERNAMA