Pelumba muda Team Sapura Cycling (TSC), Nur Aiman Zhariff, menebus kekecewaan semalam untuk merangkul jersi merah selaku raja bukit Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 dengan melakar sejarah muncul pelumba tempatan kedua menyarung jersi itu sepanjang 25 tahun penganjuran saingan tersebut.

Nur Aiman mempamerkan prestasi sama di peringkat ketiga saingan yang bermula dari Temerloh ke Kuala Lumpur hari ini dengan menjadi satu-satunya pelumba tempatan yang menempatkan diri dalam kelompok hadapan.

Tambah menarik, tiga zon pendakian yang ditawarkan dalam peringkat kali ini, iaitu di Bukit Damar dan Bentong didominasi pelumba kelahiran Terengganu itu manakala di Genting Sempah, kayuhannya tergendala seketika ekoran tayar basikalnya pancit hingga terpaksa berpuas hati di tempat kedua di belakang Rylee Field.

Bagaimanapun, kutipan mata pelumba berusia 24 tahun itu sudah cukup untuknya meraih jersi merah bagi menjadi pelumba tempatan kedua selepas Nur Amirul Fakruddin melakukan dalam edisi 2017.

"Zon pecutan bukan fokus utama saya pada hari ini," katanya.

Ia pencapaian yang cukup bermakna memandangkan semalam dia dikecewakan di 3km terakhir menuju garisan penamat di Kerteh apabila mengalami kemalangan setelah menempatkan diri dalam kelompok hadapan peloton.

"Alhamdulillah saya dapat buat yang terbaik untuk pasukan.

"Semua usaha saya hari ini berhasil," katanya.



Editor: Shaiful Shamsudin