Pelumba berbasikal lebuh raya negara, Nik Mohd Azwan Zulkiflie dan Sofian Nabil Omar, akan mengisi dua slot awal skuad kebangsaan dalam Le Tour de Langkawi (LTdL) minggu depan.

Senarai lengkap pelumba negara akan diumumkan esok dengan Nik Mohd Azwan dan Sofian Nabil tidak berdepan masalah untuk menempatkan diri dalam perlumbaan itu.

Kedua-dua pelumba itu memainkan peranan penting dalam edisi lalu, yang menyaksikan skuad kebangsaan muncul pasukan kedua terbaik Asia.

"Ramai pelumba dari luar yang boleh bersaing, jadi ia agak sukar juga," kata Nik Mohd Azwan.

Sofian Nabil menambah: "Insya-Allah saya akan menggalas tanggungjawab ini dengan baik untuk pasukan Malaysia.

"Saya harap keputusan tahun ini lebih baik kerana tahun lalu, kami menjadi pasukan kedua terbaik Asia.

"Saya juga dapat menyarung jersi (pelumba terbaik) Asia, jadi saya harap tahun ini akan lebih baik," katanya.

Persaingan merebut empat slot lain tertumpu kepada pakar pecut negara, Anuar Manan.

Pelumba veteran kelahiran Terengganu itu perlu bersaing dengan dua pelumba muda, Mohd Elmi Jumari dan Mohd Izad Hilmi Abd Jalil memandangkan jurulatih skuad negara, Yusof Abdul Nasir, hanya mahu menggunakan seorang pakar pecut.

"Mungkin persediaan itu sudah terlalu suntuk dan jika kami memulakannya lebih awal, prestasi Anuar Manan mungkin lebih baik," kata Yusof.

"Masih ada peluang buatnya dan kami akan menilai lagi prestasinya esok."



Editor: Muzaffar Musa