LTdL: Kerjasama pasukan julang Jones 

Oleh Staff Writer 8 Februari 2020 99
LTdL: Kerjasama pasukan julang Jones 
Hasrat pelumba tempatan, khususnya anak kelahiran Terengganu, untuk mencipta kejutan di laman sendiri bagi saingan peringkat kedua Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 hari ini tidak kesampaian, sebaliknya pasukan Ara Pro Cycling meraih kejuaraan sulung mereka di peringkat jelajah siri profesional.

Peringkat kedua perlumbaan yang membuka tirai di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu ke Kerteh yang melibatkan laluan sejauh 175.5 km itu merupakan laluan terpanjang dalam edisi tahun ini.

Tumpuan saingan hari ini adalah kepada pemegang jersi kuning selaku pendahulu keseluruhan, Fedorov Yevgeniy, yang mempamerkan aksi memberangsangkan dalam peringkat pertama di Kuching, Sarawak semalam. 

Bagaimanapun, memasuki 20km pertama, peloton cuba membentuk kelompok pemisah dengan satu-satunya pelumba tempatan dalam kelompok tersebut adalah pelumba Team Sapura Cycling (TSC), Nur Aiman Zhariff.

Nur Aiman meneruskan kayuhan cemerlangnya apabila mengungguli kesemua tiga zon pecutan di Chendering, Rantau Abang serta di Bandar Al-Muktafi Billah Shah.

Namun, kemalangan di beberapa kilometer terakhir menyaksikannya terpaksa berputih mata apabila Taj Jones daripada Ara Pro Cycling Racing Sunshine Coast lebih dahulu melintasi garisan penamat.

Tempat kedua menjadi milik Maximillian Walscheid sementara kedudukan ketiga diraih Jeremy Lecroq.

Tiga jersi utama, iaitu juara keseluruhan, raja pecut serta terbaik Asia masih lagi dipegang oleh pelumba Vino Astana Motors, Yevgeniy.

"Ia melibatkan laluan yang panjang tetapi kami saling bekerjasama dengan baik hari ini.

"Dalam 10km terakhir, kami sudah bersedia untuk memecut dan bertungkus-lumus. 

"Mujur salah seorang daripada kami menjadi pelumba pertama yang melintasi garisan penamat," kata Jones.



Editor: Shaiful Shamsudin 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen