Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Wahab, mengakui hanya satu pasukan bertaraf Jelajah Dunia, iaitu NTT Pro Cycling, sudah mengesahkan penyertaan dalam perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) bulan depan biarpun pihak penganjur menyasarkan penyertaan tiga pasukan bertaraf itu.

PKBM mula bimbang mengenai senarai pasukan bertanding.

Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) menetapkan syarat sekurang-kurangnya lapan pasukan, sama ada bertaraf Jelajah Dunia atau pro cycling, perlu mengesahkan penyertaan untuk LTdL mengekalkan status perlumbaan bertaraf Siri Profesional.

Hanya pasukan dari Afrika Selatan, NTT Pro Cycling, sudah mengesahkan penyertaan ketika saingan itu hanya berbaki dua minggu dari sekarang.

"Kerana (perlumbaan) LTdL sudah semakin hampir, kami terpaksa meneruskannya.

"PKBM sedang mencuba sedaya-upaya untuk membantu mendapatkan pasukan bertaraf Jelajah Dunia.

"Tetapi kerana masa terlampau suntuk, sukar untuk kami memberikan jaminan," katanya.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyasarkan sekurang-kurangnya tiga pasukan bertaraf Jelajah Dunia akan menyertai perlumbaan edisi ke-25 itu.

Saingan kali ini lebih sukar memandangkan ia turut menyenaraikan laluan di Sabah dan Sarawak selain pendakian kelas 'hors' ke Genting Highlands.

"Mereka (penganjur) setakat ini sudah menghubungi lima atau enam pasukan Jelajah Dunia dan pro tour," kata Naib Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh.

"Mereka sedang mengusahakannya dan saya percaya dalam masa terdekat ini, mereka akan dapat memenuhi kuota lapan pasukan yang ditetapkan."



Editor: Muzaffar Musa