Pelumba berbasikal lebuh raya negara, Muhammad Danieal Haikal Eddy Suhaidee, mengidamkan tempat untuk beraksi buat kali pertama dalam perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) yang menyaksikannya terpaksa bersaing dengan 11 pelumba lain.

Danieal antara pelumba muda yang menyerlahkan prestasi memberansangkan apabila muncul pemenang tempat ketiga dalam perlumbaan peringkat ketiga Kejohanan Jelajah Semenanjung 2019 selain memegang jersi Asia dalam tiga daripada lima peringkat perlumbaan.

Ketika ini, pelumba berusia 22 tahun itu dalam misi merebut enam slot terbaik untuk mewakili negara dalam saingan LTdL yang buat pertama kalinya berstatus siri profesional.

Kehadiran pelumba senior negara seperti Nik Mohd Azwan Zulkiflie, Muhammad Elmi Jumari dan Muhammad Ameer Ahmad Kamal menjadi suntikan semangat buatnya untuk merealisasikan misi tersebut.

"Saya mahu capai keputusan yang lebih baik daripada tahun lalu.

"Ia demi masa depan saya sendiri.

"Memandangkan saya masih muda, saya sedia mencuba beberapa perkara baru," katanya di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, semalam.

Dalam pada itu, seorang lagi pelumba lebuh raya kebangsaan, Sofian Nabil Omar, membayangkan hasil luar biasa dapat dilakar dalam saingan kali ini menerusi kombinasi pelumba muda dan berpengalaman.

"Kayuhan pelumba muda lebih baik daripada saya, cuma bezanya adalah daripada segi pengalaman.

"Apabila dua aspek ini bergabung, ia mungkin menghasilkan prestasi yang lebih baik lagi," katanya.



Editor: Shaiful Shamsudin