LTdL: Azwan raih tempat ketiga, sarung jersi putih

Oleh Tengku Danish Bahri 20 Mac 2018 1404
LTdL: Azwan raih tempat ketiga, sarung jersi putih
Pelumba Forca Amskin Racing (FAR), Nik Mohamad Azwan Zulkiflie, mempamerkan kayuhan bertenaga untuk menamatkan peringkat ketiga Le Tour de Langkawi (LTdL) di tempat ketiga, hari ini.

Kedudukan podium diraih pelumba kelahiran Kelantan itu juga membolehkannya menyarung jersi putih selaku pelumba terbaik Asia dengan masa keseluruhan 12j45:45s.

Perlumbaan dari Kota Bharu ke Kuala Terengganu sejauh 166 kilometer itu dimenangi Adam De Vos dari pasukan Rally Cycling (3j58:18s) dan Kim Daeyeon mewakili KSPO Bianchi Asia (3j58:31s), kedua.

Menyifatkan pencapaian itu persembahan terbaiknya, Azwan mengakui sukar untuk meneruskan kecemerlangan walaupun hanya dipisahkan 14 saat di belakang De Vos dalam perebutan jersi kuning.

Begitupun, dia tetap berbangga dengan keputusan hari ini yang menyaksikan dia kali pertama menyarung jersi putih dalam lima penampilan LTdL.

“Selepas zon pecutan ketiga, seramai sembilan pelumba membuat pecahan sehingga 10km terakhir, hanya tinggal kami berempat.

“Bukan mudah untuk berada dalam pecahan yang memecut, saya akan berusaha berada dalam kelompok terbaik dalam peringkat seterusnya,” tambah Azwan.

Selepas peringkat ketiga, De Vos unggul menyarung jersi kuning selaku pendahulu keseluruhan manakala Daeyeon memegang jersi hijau selaku Raja Pecut.

“Saya tahu kami berpeluang cerah untuk mengungguli saingan ini kerana dibezakan tujuh minit ketika perlumbaan berbaki 60km.

“Peluang itu diambil sepenuhnya dengan memecut di dua selekoh terakhir,” ujar Da Vos.

Tiada zon pendakian dalam peringkat ini menyaksikan Bernardo Albeiro Suaza Arango dari pasukan Manzana-Postobon mengekalkan jersi raja bukit.
 

Tentang Penulis

Tengku Danish Bahri

Komen