Penganjur Le Tour de Langkawi (LTdL), Human Voyage Sdn. Bhd., tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan penyertaan pasukan jelajah dunia dalam edisi 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif Human Voyage, Datuk Ahmad Mustafa, berkata selepas Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) mengesahkan tarikh perlumbaan itu dalam kalendar mereka, pihak penganjur menerima respons yang menggalakkan daripada pasukan berkenaan.

Beliau berkata penganjur mencadangkan tarikh perlumbaan itu kepada UCI selepas mengambil kira dua perlumbaan awal dalam kalendar jelajah dunia, iaitu Tour Down Under dan perlumbaan sehari, Cadel Evans, di Australia.

“Alasannya kami memilih tarikh itu, jadi kami mempunyai lebih peluang untuk mendapatkan pasukan jelajah dunia.

"Kami hanya bertindih dengan perlumbaan baru di Arab Saudi dan optimis akan mendapatkan pasukan jelajah dunia.

“Pada mulanya, UCI menetapkan tarikh 15-22 Mac tetapi apabila kami meletakkan pemberitahuan pada 7-14 Februari, kami telah berbincang dengan kira-kira lapan pasukan jelajah dunia.

"Kami tidak risau tentang pasukan probenua, pasukan benua dan projelajah dunia, kami telah berbincang dengan Bahrain, UAE International.

"Kami sedang melihat beberapa pasukan -- Ineos dan Astana tetapi masih dalam peringkat rundingan,” katanya selepas pelancaran rasmi Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 malam tadi.

Perlumbaan berbasikal terbesar di Asia itu telah dinaik taraf sebagai perlumbaan Siri Profesional (ProSeries) membabitkan lapan peringkat perlumbaan dijadualkan dari 7 hingga 14 Februari depan meliputi jarak keseluruhan 1,095.7km merentasi sembilan negeri, termasuk Sarawak, Terengganu, Pahang, Wilayah Persekutuan (Putrajaya dan Kuala Lumpur), Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah.​​​​​​​

Sempena ulang tahun ke-25, LTdL buat julung-julung kalinya akan menganjurkan perlumbaan Kriterium Antarabangsa sebelum perlumbaan LTdL 2020 dan Klasik Malaysia akan berlangsung selepas perlumbaan itu.

Kriterium Antarabangsa akan berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah pada 6 Februari depan manakala Klasik Malaysia dianjurkan di Langkawi sembilan hari kemudian.

-- BERNAMA