Penganjur perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2017 sedia mengharungi cabaran untuk memastikan kualiti pertandingan itu kekal di peringkat tertinggi meskipun hanya mendapat peruntukan sebanyak RM6 juta daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Perlumbaan LTdL tahun ini menyaksikan penganjur, Ciclista Sports Sdn Bhd, menerima geran sebanyak RM11 juta daripada KBS di samping kos keseluruhan RM15.5 juta.

Namun, pemotongan kos berikutan penganjuran temasya Sukan SEA 2017 turut dirasai apabila KBS hanya menyalurkan RM6 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif LTdL 2017, Emir Abdul Jalal, menyifatkan itu cabaran terbesar pernah dihadapi pihaknya dengan sasaran awal sekurang-kurangnya RM10 juta diperlukan untuk menganjurkan perlumbaan berstatus Hors Class itu.

"Kami agresif dalam mencari penaja-penaja baru. Kalau kami dapat menampung kekurangan yang diberikan KBS, maka kos kejohanan ini masih sama seperti penganjuran sebelum ini.

"Kami sememangnya mahu mengekalkan taraf Hors Class yang sedia ada," ujar Emir selepas majlis pelancaran imej baru LTdL serta pengumuman laluan bagi perlumbaan tahun 2017 yang dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, di Putrajaya, hari ini.

Saingan 2017 akan membabitkan lapan peringkat yang merangkumi jarak keseluruhan 1,225 kilometer.

Jelas Emir lagi, pihaknya juga berdepan cabaran untuk menarik pasukan bertaraf profesional bagi menyertai perlumbaan tahun hadapan tetapi yakin kuota empat pasukan berstatus itu mampu dilengkapkan.

"Kami cuma fokus kepada pasukan yang bertaraf jelajah profesional.

"Dengan kehadiran tiga pasukan bertaraf profesional, maka kami akan dapat mengekalkan standard Hors Class.

"Kami akan mengurangkan penyertaan pasukan profesional benua disebabkan kos.

"Tapi untuk pasukan profesional, jika kami menerima jemputan, kami pasti akan menerimanya tanpa mengira kosnya."