Status pemain senior skuad tenis negara menjadi tanda tanya tatkala Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM) dalam perincian fasa akhir bagi membentuk program 2018.

Ada jurang besar dalam kualiti skuad tenis negara di antara senior dan pelapis kerana dalam tempoh yang panjang, nama seperti Jawairiah Nordin, S. Theiviya, Ahmad Deedat Abdul Razak dan Syed Agil Syed Naguib menjadi sandaran.

Atas dasar itu, timbul persoalan adakah program LTAM pada tahun depan dalam misi memburu pingat emas Sukan SEA 2019 akan tertumpu kepada pelapis berbakat?

"Saya sudah mempunyai senarai nama, namun saya belum boleh mendedahkan atlet-atlet berkenaan. Terpulang kepada pihak atasan LTAM untuk menentukan atlet atas cadangan panel kejurulatihan.

"Kami akan meneruskan perancangan tahun hadapan sebelum menilainya semula pada hujung tahun nanti," kata ketua jurulatih negara, Muliyadi Jamal.

Dalam masa sama, LTAM mendapat perkhabaran baik apabila bakal menerima peruntukan daripada Majlis Sukan negara (MSN) dan bertanggungjawab penuh untuk mengurus peruntukan itu di samping mencari dana tambahan.

"MSN akan meneruskan bantuan kepada kami. Terima kasih kepada MSN dan kami akan meneruskan program untuk pemain pelapis dan senior yang akan menghadapi kejohanan-kejohanan seperti Sukan SEA," katanya lagi.