Orang ramai yang ingin menempah kemudahan sukan di Kompleks Sukan Kota Kinabalu tidak perlu lagi berurusan di kaunter apabila Lembaga Sukan Negeri Sabah (LSNS) melancarkan aplikasi atas talian untuk memudahkan proses berkenaan, kata Menteri Belia dan Sukan Sabah, Phoong Jin Zhe.

Menerusi kerjasama dengan syarikat Aulis Holding Sdn Bhd, tempahan kemudahan sukan di kompleks itu sudah boleh dilakukan menerusi aplikasi GoNet.

"Aplikasi e-tempahan atau online booking ini adalah yang pertama dibangunkan di Sabah bagi tujuan membuat tempahan kemudahan sukan.

"Ia juga selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk melaksanakan perkhidmatan secara atas talian di semua perkhidmatan yang dikendalikan badan-badan serta agensi kerajaan negeri.

"Sistem aplikasi tempahan atas talian ini akan dikendalikan di Ibu Pejabat LSNS secara kawalan berpusat di mana transaksi e-tempahan, e-pembayaran dan pungutan hasil pendapatan di semua 15 kompleks sukan di seluruh negeri ini diselaraskan di bawah satu sistem saja," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena pelancaran aplikasi berkenaan dan pelancaran logo baru LSNS di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu, hari ini.

Buat masa ini, kemudahan aplikasi e-tempahan itu akan dilaksanakan di Kompleks Sukan Kota Kinabalu, namun ia akan diperluaskan ke semua kompleks sukan di seluruh negeri tahun depan.

"Antara kebaikan sistem e-tempahan ini adalah ia menjimatkan masa dan mengurangkan kesilapan manusia dan saya juga yakin hasil pendapatan LSNS akan meningkat," katanya lagi.

Aplikasi e-tempahan kemudahan sukan 'GoNet' itu boleh dimuat turun menerusi laman web www.gonet.my.