Los Angeles setuju jadi tuan rumah Olimpik 2028

Oleh Staff Writer 1 Ogos 2017 218
Los Angeles setuju jadi tuan rumah Olimpik 2028
Los Angeles (LA) bersetuju dengan perjanjian untuk menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 2028, bagi membuka laluan kepada Paris menganjurkan temasya itu pada 2024.

Pihak LA mencapai persetujuan dengan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) untuk menganjurkan Sukan Olimpik 2028, demikian diumumkan hari ini, sebelum menyerahkan Olimpik 2024 kepada satu-satunya pembida yang tinggal, Paris.

Jawatankuasa Olimpik Amerika Syarikat (AS) dan Majlis Bandaraya LA mesti meluluskan perjanjian itu sebelum langkah rasmi akan diambil IOC dalam mesyuarat pada 13 September di Lima, Peru.

"Kami sangat yakin bahawa kami boleh mencapai persetujuan tiga penjuru di antara IOC, LA dan Paris pada bulan ini, mewujudkan situasi menang-menang untuk ketiga-tiga pihak," kata Presiden IOC, Thomas Bach, dalam satu kenyataan.

Penganjuran oleh kedua-dua bandaraya itu sudah dijangka berikutan keputusan IOC awal bulan ini untuk tidak mengikut tradisi dengan menganugerahkan dua Olimpik 2024 dan 2028 serentak.

Paris secara konsisten mengatakan mereka hanya berminat untuk temasya 2024 manakala LA, dalam kenyataannya baru-baru ini, lebih terbuka untuk mengendurkan persaingan kepada penganjuran pada 2028.

"Ini adalah hari bersejarah bagi LA, untuk AS dan gerakan Olimpik dan Paralimpik di seluruh dunia," kata Datuk Bandar LA, Eric Garcetti. 

"Hari ini, kami mengambil langkah penting untuk membawa kembali Olimpik ke bandar kami buat kali pertama dalam generasi ini dan memulakan babak baru dalam kisah Olimpik di LA.

"Persetujuan dengan IOC akan membolehkan kami menanam semangat keyakinan dan peluang yang akan mengangkat setiap komuniti di LA -- bukan 11 tahun lagi, tetapi bermula sekarang dan berterusan pada tahun-tahun menjelang temasya itu. 

"LA 2028 akan menjadi pemacu untuk menjadikan LA bandar paling sihat di Amerika, dengan membuatkan sukan belia lebih mudah dan senang dianjurkan berbanding sebelum ini."

Di bawah syarat-syarat Perjanjian Bandaraya Tuan Rumah 2028, IOC akan mengeluarkan dana -- berpotensi lebih daripada $2 billion (RM8.56 bilion) -- kepada Jawatankuasa Penganjur LA memandangkan tempoh perancangan yang lebih lama, untuk meningkatkan penyertaan dan akses kepada projek sukan belia di bandaraya itu.

LA sebelum ini menganjurkan Sukan Olimpik pada 1932 dan 1984 sementara Paris menjadi tuan rumah pada tahun 1900 dan 1924.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen