Kejohanan Golf Terbuka Malaysia ke-55 yang kini berlangsung di sini berkemungkinan besar tidak menyaksikan juara tempatan buat pertama kalinya, namun pemain muda Lo Tien Ming membawa sedikit harapan baharu dalam mencapai impian tersebut, di masa hadapan.

Lo, pemain amatur dari Sabah yang berusia 14 tahun dan 308 hari, muncul sebagai pemain kedua termuda Malaysia untuk layak ke pusingan akhir pada mana-mana Asian Tour, hanya tiga hari lebih tua daripada pemenang Order of Merit Asian Tour 2017 Gavin Kyle Green.

Gavin, layak ke pusingan akhir pada Terbuka Johor 2008 pada usia 14 tahun 305 hari.

Apabila pusingan kedua yang bersambung hari ini dihentikan, akibat cuaca buruk semalam, Lo berjaya menempatkan dirinya dalam kalangan 73 pemain, yang mencatatkan sekurang-kurangnya satu di bawah par 143, yang menjadi penanda kelayakan kejohanan, dan berkedudukan tempat ke-53 terikat bersama 11 pemain lain, dengan mencatatkan dua di bawah par 142.

Walaupun Terbuka Malaysia ini merupakan kejohanan Asian Tour keduanya, selepas penyertaan di Masters Sabah pada November, Lo berjaya menamatkan permainan lebih baik daripada pasangan ‘flight’nya dari Korea Selatan Seung Park dan rakan senegara Paul San yang masing-masing gagal melayakkan diri.

“(Bermain bersama yang terbaik Asia) Saya sebenarnya agak gementar masuk ke pusingan akhir, tetapi saya gembira dapat layak, sebelum bermula kejohanan ini, saya hanya berharap dapat lakukannya.

“Kemudian saya rasa amat teruja apabila kelayakan itu dua di bawah par, jadi saya berjaya untuk lakukan putt sejauh enam kaki untuk birdie pada lubang terakhir, ia amat membanggakan,” kata Lo yang mula bermain pada usia 10 tahun kepada pemberita selepas tamatnya pusingan kedua.

Lo berkata, maklumat mengenai padang beliau terima daripada rakan senegara dan pemenang Piala Queen 2017 Nicholas Fung, telah membantunya bermain dengan lebih baik.

Selain Lo, enam lagi pemain Malaysia - Ben Leong, Amir Nazrin, Shahriffuddin Ariffin, Nicholas Fung, Danny Chia dan Leunkwang Kim berjaya layak ke pusigan akhir bagi meneruskan impian menjadi rakyat Malaysia pertama memenangi gelaran tersebut.

Pusingan akhir kejohanan akan bermula pada 8.30 pagi esok, selepas pihak penganjur memutuskan untuk memendekkan kejohanan US$1 million (kira-kira RM4.16 juta) kepada 54 lubang daripada 72, akibat masalah cuaca yang menyebabkan berlakunya kelewatan sejak Khamis lagi.

-- BERNAMA