Atlet heptatlon negara, Liyana Kamaruddin, menjadikan kekurangan persiapan ke Sukan SEA Filipina sebagai penyuntik semangat sehingga berjaya meraih pingat perak.

Sebelum ini, atlet berusia 28 tahun itu dipalit kecederaan lutut yang merencatkan persediaannya ke Filipina sambil tidak memiliki jurulatih tetap, namun itu tidak mematahkan semangatnya untuk ke Sukan SEA.

Dia membawa pulang perak meskipun berdepan kesulitan memberi fokus dalam tujuh acara heptatlon dengan latihan bersama jurulatih berbeza.

Baginya, acara merejam lembing menjadi kelemahannya yang perlu diperbaiki dan ia antara punca dia tidak dapat menghadirkan emas selepas menamatkan saingan dengan 4,906 mata, tewas kepada wakil tuan rumah, Filipina.

"Ia satu kepuasan dan berbaloi untuk saya. Ada orang bimbing sepenuhnya membuatkan saya lebih bersemangat. Saya nak tunjukkan kepada orang lain kemampuan sebenar saya," katanya.

Sementara itu, Liyana hanya akan berehat seketika dan kembali menjalani latihan bagi Kejohanan Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota Kerajaan (MAKSAK) bermula 19 Januari depan.

"Dua minggu lagi ada Kejohanan MAKSAK. Saya akan beraksi dalam acara lompat tinggi."