Lima pelumba muda rebut slot ganti Azizulhasni

Oleh Staff Writer 25 Disember 2018 114
Lima pelumba muda rebut slot ganti Azizulhasni
Faris Haiqal Mohd Kadir adalah antara lima pelumba remaja yang bersaing sengit merebut tempat menggantikan Azizulhasni Awang dalam trio pecut berpasukan ke Piala Dunia di New Zealand bulan depan selepas "The Pocket Rocketman" mengambil keputusan untuk berehat.

Azizulhasni tidak akan menyertai baki dua Siri Piala Dunia kerana sudah mengumpul mata yang cukup untuk melayakkan diri ke Kejohanan Dunia 2019 dalam acara keirin, pecut dan pecut berpasukan.

Ia memberikan peluang kepada seorang pelumba remaja mengambil alih tugasnya sebagai pelumba pertama atau starter.

Antara lima pelumba muda yang bersaing merebut tempat itu ialah Faris dan Alif Aiman Safwan selaku jaguh dalam pembikinan.

Faris adalah pemenang pingat gangsa pecut berpasukan dalam Kejohanan Trek Asia 2018 di Velodrom Nilai, awal tahun ini.

"Buat masa ini, saya berada di tempat pertama antara lima pelumba negara untuk layak beraksi dalam Siri Piala Dunia," kata Faris.

Siapa yang bakal menjadi pengganti Azizulhasni akan ditentukan sebelum skuad negara menyertai Kejohanan Trek Asia 2019 di Jakarta, bermula 8 Januari ini.

"Mereka memiliki kemahuan yang tinggi. Saya sudah selesa dengan mata yang diraih untuk melakukan persiapan menghadapi Kejohanan Dunia," kata Azizulhasni.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen