Novak Djokovic gembira di sebalik kekalahan serta meluahkan "menikmati lima bulan yang indah" selepas Karen Khachanov menamatkan 22 kemenangan berturut-turutnya untuk menjulang gelaran Masters Paris, semalam.

Djokovic merupakan pilihan untuk menyamai rekod Rafael Nadal meraih gelaran ATP Masters 1000 yang ke-33 tetapi Khachanov menyerlahkan persembahan terbaik apabila meraih kemenangan 7-5, 6-4.

Stefanos Tsitsipas merupakan pemain terakhir menewaskan pemenang grand slam 14 kali itu dalam saingan Piala Rogers dan kali ini, pemain berusia 22 tahun itu berjaya mengatasi wakil Serbia berkenaan untuk meraih kemenangan terbesar dalam kariernya.

Djokovic memberikan pujian kepada wakil Russia itu, yang kini menduduki tangga ke-11 dunia, sementara dia memintas Nadal selaku pemain nombor satu dunia, hari ini.

"Khachanov telah bermain dengan baik sepanjang kejohanan ini. Dia berhak meraih kemenangan ini," katanya.

"Dia merupakan seorang pemain muda dan dijangka bakal menjadi pencabar utama pada masa akan datang.

"Saya berpuas hati dengan persembahan saya dan bakal menjadi pemain nombor satu dunia mengatasi Nadal. Saya telah meraih lebih daripada 20 kemenangan berturut-turut dan ia merupakan lima bulan yang sungguh menakjubkan bagi saya," ujarnya.

Kemenangan itu secara tidak langsung membenarkan Khachanov berazam untuk mencipta lebih banyak kejayaan sebaik musim 2019 bermula.

"Ia kejayaan yang sungguh bermakna. Saya tidak menjangkakan mampu mengakhiri musim dengan gelaran.

"Ia adalah permulaan dalam karier saya dan saya sangat gembira dengan pencapaian ini."