Lima atlet angkat berat negatif doping

Oleh Bernama 11 September 2019 629
Lima atlet angkat berat negatif doping
Keputusan ujian doping lima atlet angkat berat kebangsaan yang dilakukan secara mengejut oleh Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) Julai lalu didapati negatif.

Mengesahkan perkara itu, Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat, berkata lima atlet angkat berat yang menjalani ujian pada 31 Julai itu ialah atlet senior, Muhammad Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad, Muhammad Aznil Bidin, Muhammad Erry Hidayat, Mohd Yusoff Nandong dan Nur Atikah Mahamad Sobri.

Katanya, pelbagai prosedur tambahan melibatkan ujian semula dan mengenal pasti bahan telah dijalankan sepanjang sampel dihantar ke sebuah makmal antarabangsa di Qatar.

“Setelah menunggu selama enam minggu, pada hari ini, PABM menerima keputusan yang menggembirakan. 

"Jelas menunjukkan bahawa segala seminar, bengkel dan sesi penerangan yang dijalankan secara berterusan oleh PABM, Majlis Sukan Negara (MSN), Majlis Sukan Negeri, ADAMAS serta persatuan negeri membuahkan hasil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ayub berkata berita baik itu juga merupakan satu petanda positif menjelang Sukan Malaysia (Sukma) di Johor tahun depan.

“Saya berharap agar sesi penerangan dapat dilakukan secara berterusan agar atlet sukan angkat berat benar-benar faham serta tidak melibatkan diri dalam pengambilan bahan larangan,” katanya.

Dalam masa sama, Ayub berkata pihaknya masih menunggu keputusan Majlis Tertinggi Sukma mengenai keputusan menyenaraikan semula sukan angkat berat yang sebelum ini berstatus 'KIV’ (simpan dalam perhatian) dalam temasya sukan itu.

-- BERNAMA
 

Tentang Penulis

Bernama

Komen