Pengarah Kejurulatihan, Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Mejar S. Maniam, meletakkan harapan tinggi Liga Skuasy 2017 akan dapat diterima baik bagi mencari atlet pelapis selepas 10 tahun ia tidak dipertandingkan secara kompetitif.

Menurut Maniam, Liga Skuasy pada suatu ketika dahulu begitu hebat dipertandingkan, dan kini ia dipertandingkan semula selepas sekian lama bagi mencungkil bakat baru.

Pada saat SRAM hanya memberikan fokus kepada atlet elit negara, sudah tiba masanya untuk mereka menyediakan platform yang terbaik bagi melahirkan pelapis dalam sukan itu.

Untuk permulaan, penglibatan daripada atlet kebangsaan dialu-alukan untuk memeriahkan lagi Liga Skuasy yang dijadualkan berlangsung pada Januari 2017.

"Jika pemain kebangsaan membentuk sebuah pasukan, ia akan menjadi berat sebelah. Jadi, apa yang kami ingin lakukan ialah untuk membahagikan pemain kebangsaan kepada pasukan yang berbeza.

"Mereka bakal bertanding sesama sendiri selain pasukan juga dapat menyaksikan permainan yang ditampilkan mereka," jelas Maniam.

Bagi Presiden SRAM, Huang Ying How,masih terlalu awal untuk dia menjangkakan sambutan yang bakal diterima.

Namun, memandangkan ia terbuka kepada semua golongan tidak kira usia, Ying How, positif permulaan Liga Skuasy itu mampu untuk mencapai matlamat yang diinginkan.

"Ini merupakan acara yang negara Eropah telah lama lakukan dan mereka berjaya. Saya berasakan Malaysia merupakan negara yang hebat dalam sukan skuasy, tambahan dengan beberapa penanda aras yang telah kami tetapkan tetapi dari segil sosial, kami jauh ketinggalan.

"Kami ketinggalan kepada beberapa negara tetapi dengan sumber-sumber yang kami miliki, juga dengan prestij yang kami ada, kami boleh melakukan tugas tersebut dengan baik," ujar Ying How.