Liga Ping Pong Malaysia beri harapan baru 

Oleh Penulis Jemputan 2 Disember 2017 370
Liga Ping Pong Malaysia beri harapan baru 
Liga Ping Pong Malaysia 2017 berupaya menjadi pemangkin yang dicari-cari Persatuan Ping Pong Malaysia (TTAM) dalam meningkat imej sukan itu berikutan ia satu inisiatif yang dianggap tepat pada waktunya. 

Selesai aksi final hari ini, terbit reaksi positif daripada pemain yang terlibat dalam musim sulung penganjuran liga itu. Misalnya, pemain kebangsaan seperti Ashraf Haiqal Rizal yang menjulang Gema Marketing sebagai juara kategori lelaki. 

Menentang PJ Union, Gema Marketing dipaksa berhempas-pulas sebelum menang 4-2. 

"Secara keseluruhannya, semua pemain bermain dengan baik dan tidak mengalami sebarang kecederaan hasil daripada persiapan rapi. 

"Tidak kira berapa keputusannya, kemenangan adalah penting bagi kami," kata Ashraf. 

Sementara itu, Star Elite merekodkan kemenangan hasil mata terakhir yang dramatik untuk dinobatkan sebagai juara wanita menerusi keputusan 4-1. 

Kejayaan mereka itu dimuktamadkan bekas pemain kebangsaan, Kueh Wan May, yang mengatasi bintang skuad negara, Ho Ying, 3-2. 

"Ia satu perlawanan yang sengit kerana berhadapan dengan pemain kebangsaan sementara saya dibelenggu kecederaan lutut. Namun, saya tetap memberikan yang terbaik. 

"Penganjuran liga ini merupakan satu kejayaan kerana ia dilangsungkan selama tiga bulan," kata Wan May. 

Bagi Ashraf dan Wan May, pendekatan untuk memperkasakan liga ini dalam edisi akan datang adalah menerusi peningkatan kualiti saingan menerusi jemputan kepada pasukan luar negara. 

"Untuk tahun akan datang, saya harap ada kelab-kelab luar akan menyertai liga ini," ujar Ashraf. 

Sementara itu, Wan May berpendapat pemain negara mampu menimba pengalaman berharga dengan kehadiran pasukan luar.

 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen